Skip to main content

Bicara Petang : Kesan Perjudian Online terhadap Masyarakat Islam

Terdapat pelbagai kesan yang akan berlaku kepada masyarakat Islam sekiranya perkara ini tidak dibendung. Antaranya ialah :

Tabiat berjudi akan merosakkan akidah seseorang, apabila mereka terlibat dengan unsur-unsur pemujaan bagi mendapatkan nombor ekor. Kegiatan memuja kubur, pohon besar, keris hikmah dan tangkal azimat boleh menyebabkan syirik kepada Allah SWT. Terdapat juga peminat nombor ekor yang menemui bomoh nombor untuk mendapatkan nombor bertuah. Bomoh tersebut akan menggunakan sihir dan tipu daya bagi memenuhi hajat pemohon dengan memuja atau melalui amalan menurun. Perbuatan ini jelas merosakkan akidah kerana kita meminta pertolongan kepada pihak lain dan bukan kepada Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: “Jauhilah tujuh perkara yang membinasakan.” Sahabat bertanya: “Apakah perkara-perkara itu ya Rasulullah?” Baginda SAW menjawab: “Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan kebenaran, memakan riba, memakan harta anak yatim, lari dari medan perang dan membuat tuduhan jahat ke atas perempuan mulia lagi beriman.” (HR Bukhari)
Kerosakan dari sudut syariat pula dapat kita lihat apabila kaki judi mengalami kekalahan. Mereka akan membuat perkara yang dilarang syarak bagi mendapatkan wang atau modal untuk berjudi seperti mencuri, peras ugut dan merompak. Institusi keluarga menjadi musnah. Tanggungjawab kepada isteri dan anak akan terabai. Nafkah tidak terjaga kerana segala harta yang ada akan dihabiskan untuk berjudi. Malah ada yang sanggup meminjam kepada along bagi mendapatkan wang segera untuk berjudi bagi memenuhi impian menjadi kaya yang tidak pernah menjadi realiti. Kekalahan dalam perjudian juga menyebabkan seseorang menjadi pendendam hingga membawa kepada pembunuhan.
Selain itu. tabiat berjudi juga menyebabkan seseorang suka berhutang. Apabila hutang tidak dapat dilunaskan, maka ia akan mewujudkan satu lagi tabiat yang buruk iaitu suka berdusta. Peminjam akan memberikan pelbagai alasan apabila pemiutang datang untuk menuntut haknya.
Orang yang berjudi sebenarnya telah melakukan keingkaran kepada Allah SWT dan hidupnya tidak berada dalam ketenangan semasa di dunia lagi. Tabiat berjudi menyebabkan individu berkenaan dihinggapi penyakit keluh kesah. Ini berlaku apabila ia leka berjudi menyebabkan jiwanya khusyuk dan lidahnya kering dari berzikir sedangkan zikir adalah benteng kegelisahan. Apabila berada dalam kegelisahan, seseorang itu akan mudah diperdayakan oleh syaitan laknatullah.


Sumber : http://tigosotigo.blogspot.com/2010/08/judi-memudaratkan-diri-masyarakat.html

Comments